Menu

Rabu, 16 Jun 2010

Pemberusan gigi kanak-kanak – bila dan bagaimana?

Mengajar anak memberus gigi adalah sangat penting. Tentu ramai yang mempunyai masalah yang anak mereka tidak suka memberus gigi atau tidak mahu diberus giginya oleh anda. Bagaimana anda mahu memupuk sikap suka memberus gigi dikalangan anak anda? Bagaimana cara memberus gigi anak anda?


Cara memberus gigi anak anda:


Berus gigi anak anda 2 kali sehari, pagi dan juga malam sebelum tidur.


1. Posisi paling bagus untuk anda berdiri ialah di belakang atau tepi anak anda dan memegang rahang bawah anak anda dengan lembut.


2. Berus bahagian permukaan gigi belakang dahulu kerana bahagian ini digunakan untuk mengunyah makanan dan sangat senang mendapat karies. Kemudian, teruskan dengan bahagian permukaan tepi gigi dan juga bahagian sebelah dalam gigi belakang.


3. Selepas itu berus pula bahagian gigi hadapan, permukaan luar dan dalam gigi.


4. Gunakan teknik berusan secara bulatan kecil seakan gegaran supaya seluruh permukaan gigi dibersihkan dengan sempurna.


5. Luangkan masa dalam 3 minit untuk memberus gigi anak anda. Nyanyikan lagu semasa memberus supaya apabila habis lagu dalam masa 3 minit, maka pemberusan gigi pun habis.


5. Suruh anak anda berkumur dan ludahkan semuanya. Jangan risau sekiranya anak anda tertelan sedikit ubat gigi yang mempunyai kandungan florida rendah. Jika anak anda selalu menelan ubat gigi, gunakan ubat gigi tanpa florida.


6. Jangan lupa memuji anak anda kerana telah memberus gigi.



Apa perlu buat jika anak tidak mau memberus gigi


Ada kanak-kanak yang tidak suka anda menggosok gigi mereka. Mereka mahu membuatnya sendiri. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun tidak akan menggosok gigi dengan betul kerana mereka masih tidak tahu menggunakan berus gigi dengan betul. Jadi, anda perlu memberus semula gigi anak anda selepas anak anda memberusnya. Anda juga boleh mencuba beberapa tip untuk menjadikan aktiviti memberus gigi disukai anak anda:


1. Pastikan aktiviti memberus gigi sesuatu yang seronok dan bukannya satu tugas yang perlu dibuat oleh anak anda setiap hari


2. Biarkan anak anda memberus gigi anda, kemudian memberus giginya sendiri dan kemudian anda pula menyudahkan pemberusan gigi.


3. Biar dia memilih berus gigi dan ubat gigi kesukaannya


4. Nyanyikan lagu atau buatkan aktiviti gosok gigi seperti satu permainan


5. Bacakan buku mengenai gigi, pemberusan gigi dan juga doktor gigi


6. Jangan gunakan paksaan semasa memberus gigi anak anda, sekiranya anak anda tidak mahu memberus nasihatkan anak anda secara perlahan-lahan sehingga dia mahu memberus gigi


Jika anda jadikan gosok gigi ini seperti sesuatu yang menyeronokkan tentu anak anda sukakannya. Anak anda juga akan suka memberus gigi jika mereka melihat anda memberus gigi. Mulakan dari awal, supaya senang mendidik anak menggosok gigi kelak. Ingatlah bahawa gigi anak anda amat penting walaupun gigi itu akan diganti dengan gigi kekal kerana tanpa gigi, anak anda akan menghadapi masalah untuk makan dan boleh mengganggu tumbesaran mereka.






Selamat mencuba!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan