Menu

Rabu, 16 Jun 2010

Karies gigi di Kalangan Kanak-kanak

Apakah yang dimaksudkan dengan karies awal di kalangan kanak-kanak?


Karies awal di kalangan kanak-kanak ialah kerosakan gigi susu yang berlaku dalam kadar yang cepat yang disebabkan oleh amalan penyusuan yang tidak baik dan diburukkan lagi oleh tabiat pemakanan yang tertentu. Ia juga dikenali dengan nama karies botol susu.


Apakah yang menyebabkan kerosakan gigi anak?

Menghisap susu atau minuman manis secara berterusan terutama semasa tidur adalah penyebab utama kerosakan gigi berlaku.

Semasa tidur, aktiviti menelan air liur akan berkurangan. Ia akan menghalang proses pembersihan cecair dalam mulut. Susu atau minuman manis bertakung di dalam mulut dan ia menggalak pembiakan bakteria yang akan menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit gusi.


Bagaimana anda boleh mengetahui anak anda mengalami kerosakan gigi?

Anak anda mungkin mengalami:

* sakit gigi atau gusi

* kerosakan gigi kacip di rahang atas

* kerosakan gigi geraham di rahang atas dan bawah

Kebiasaannya, kerosakan gigi jarang berlaku pada gigi hadapan rahang bawah.



Apakah masalah berkaitan yang timbul?

Kerosakan gigi yang tidak dirawat akan menyebabkan :

* sakit gigi

* bengkak gusi

* kehilangan gigi



Bagaimanakah gigi yang rosak dirawat?

Dapatkan pemeriksaan daripada doktor pergigian seawal mungkin untuk mengelak kerosakan gigi yang teruk atau berterusan. Gigi tersebut mungkin perlu dibersihkan dan ditampal atau menjalani lain-lain rawatan yang diperlukan.



Apakah yang boleh anda lakukan untuk mencegah kerosakan gigi awal di kalangan kanak-kanak?

Langkah yang perlu diambil :

* Pangku anak anda semasa menyusu botol dan keluarkan botol daripada mulutnya sebaik sahaja dia tidur.

* Sekiranya anak anda enggan tidur tanpa botol di dalam mulutnya, isikan botol dengan air masak kosong.

* Bersihkan mulut anak selepas memberi makan atau minum dengan tuala bersih yang basah. Jadikan kebiasaan untuk memberus gigi nya dua kali sehari apabila lebih banyak gigi tumbuh.

* Elakkan memberi minuman yang manis atau mencampur gula ke dalam minuman botol anak anda.

* Usahakan agar anak anda tidak lagi mengguna botol susu apabila sudah berumur 1 tahun. Latih anak anda minum susu dengan mengguna cawan.

* Bawa anak anda ke klinik seawal mungkin untuk mendapatkan pemeriksaan pergigian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan