Menu

Isnin, 26 Julai 2010

Usah halang anak bermain....

Oleh BINTU RASYADA A.RAHMAN
dicetak dari utusan online

MASIH segar di ingatan, ketika zaman kanak-kanak di kampung, kita menghabiskan waktu petang dengan bermain teng-teng, galah panjang, pondok-pondok, rounders dan adakalanya menangkap ikan di sungai atau parit. Waktu itu, kita bermain sepuas-puasnya dan ibu bapa jarang sekali menegah malah mungkin menjadi rahmat buat mereka kerana tidak mengganggu tugas mereka di rumah.

Hujung minggu dan cuti sekolah juga banyak dihabiskan dengan bermain, dari pagi hinggalah ke petang. Tidak cukup dengan itu, ketika di sekolah kita juga aktif menyertai sebarang kegiatan sukan. Itu kisah yang berlaku suatu ketika dahulu. Namun atas perubahan masa dan desakan waktu, kita yang dahulunya tidak pernah tahu duduk diam tatkala ada kelapangan mengambil pendekatan sebaliknya pula terhadap anak-anak.

Waktu bermain dan bersukan anak-anak dihadkan. Sebahagian daripada kita beranggapan sukan dan permainan akan menjejaskan tumpuan anak-anak terhadap pembelajaran. Kecenderungan untuk mencatatkan kejayaan yang cemerlang dalam akademik dan sikap berlumba-lumba untuk memperoleh A dalam peperiksaan menyebabkan kita menegah mereka untuk bersukan dan bermain.

Tambahan pula dengan persekitaran yang semakin terhad dan tidak selamat terutama bagi mereka yang tinggal di bandar, kegiatan yang mengeluarkan peluh tidak lagi dipedulikan dan akhirnya waktu anak-anak hanya dihabiskan dengan menonton televisyen serta bermain permainan video di rumah.

Pengarah Cawangan Hal Ehwal Atlet, Majlis Sukan Negara, Zaiton Othman berkata, berdasarkan pengalamannya, sukan dan permainan memainkan peranan yang sangat penting kepada perkembangan kanak-kanak. "Tidak ada cara atau kaedah yang lebih berkesan dalam membantu mereka mengecap kecemerlangan dalam pelajaran melainkan dengan cara bersukan dan bermain," ujar beliau yang juga merupakan bekas jaguh pecut negara suatu ketika dulu.

Menurutnya, mereka yang terlibat secara aktif dalam sukan dan permainan didapati lebih mudah menerima pembelajaran kerana ia bukan hanya melibatkan fizikal tetapi juga memberi kesan terhadap perkembangan diri secara menyeluruh iaitu kognitif, sosial, rohani dan emosi.

"Kalau kita lihat negara-negara sedang membangun seperti Jamaica,Cuba dan beberapa negara di Afrika, penerapan mengenai pentingnya sukan bermula dari dalam perut ibu lagi. "Seterusnya ketika kanak-kanak mereka diasuh untuk bersukan. Ini kerana mereka percaya, kekuatan fizikal boleh memberi sumbangan kepada negara," kata Zaiton.Jelas beliau lagi, ketika bersukan dan bermain, seseorang itu secara tidak langsung belajar untuk memimpin, membuat keputusan dengan pantas dan tepat, menghormati antara satu sama lain serta menempuh pengalaman berjaya atau gagal.

"Contohnya, ketika bermain bola keranjang, seseorang itu perlu membuat keputusan dengan pantas untuk menghantar bola kepada siapa, apa tindakan yang harus dilakukan seterusnya dan bagi mereka yang bergelar kapten pula, pastinya permainan ini membantu mereka menyerlahkan bakat kepimpinan," katanya.

Kesemua tindakan yang dilakukan ini, ujar beliau dapat melancarkan otak sekali gus membantu kebolehan analitikal seseorang.Dengan bersukan juga katanya, seseorang akan belajar menerima hakikat kegagalan seterusnya mereka akan bangkit kembali untuk meraih kejayaan. Ini menjadi motivasi terbaik yang mendorong mereka untuk bergelar insan cemerlang.

Daripada pengalaman yang dilaluinya, Zaiton kini menggunakan kaedah yang sama untuk anak perempuannya yang berusia lima tahun. "Saya akan biarkan dia bermain sepuas-puasnya dan tidak memaksa seandainya dia tidak mahu mengulangkaji pelajaran. "Hasilnya saya dapat lihat anak saya mudah menerima pembelajaran, menjadi sangat berdikari dan seorang yang berani dalam membuat keputusan walaupun pada usia yang masih terlalu muda," katanya. Jelas beliau lagi, peringkat kanak-kanak adalah suatu tempoh yang
sangat penting dalam mencorakkan masa depan mereka. Bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun misalnya, melalui keseronokan seperti inilah yang membantu mereka mengecap kecemerlangan dalam pelajaran.

Dengan memberi contoh Datuk Nicole Ann David, Zaiton berkata, Ratu Skuasy Negara itu turut meraih kecemerlangan dalam pelajaran selain hebat dalam sukan. "Beliau (Nicole) seorang yang rajin menjalani latihan dan jika dilihat pada jadualnya mungkin kita menganggap beliau tidak mempunyai masa untuk menelaah pelajaran," ujarnya. Sebaliknya kata beliau, bagi atlet yang sederhana pencapaian dalam sukan pula, mereka juga hanya memperoleh keputusan sederhana dalam akademik.

Dengan bersukan dan permainan juga kata Zaiton akan membantu kanak-kanak untuk memperoleh tidur yang berkualiti pada sebelah malam. Dan ini sekali gus memberi kesegaran kepada tubuh badan mereka untuk memulakan hari berikutnya dengan penuh keyakinan serta fokus.

Selain itu katanya, sukan juga amat baik untuk kanak-kanak yang menghidap asma di mana terdapat beberapa kes yang membuktikan penghidap penyakit ini berjaya sembuh selepas melibatkan diri dalam bidang sukan. Menjawab soalan mengenai keadaan persekitaran masa kini yang tidak sesuai untuk kanak-kanak bermain pula Zaiton berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan demi memberi yang terbaik untuk anak-anak mereka.

"Ambil inisiatif dengan meluangkan sedikit masa sekurang-kurangnya dua kali seminggu sambil memantau anak-anak bersukan dan bermain di luar."Bawalah anak-anak bermain badminton atau berbasikal misalnya,
biarkan badan mereka berpeluh dan biar mereka berseronok," ujarnya. Selain itu, beliau juga menyarankan kepada ibu bapa agar memilih kediaman yang berdekatan dengan padang permainan dan gelanggang sukan
bagi memudahkan penglibatan anak-anak mereka dalam kegiatan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan