Menu

Rabu, 30 Jun 2010

Sambutan Hari Bapa

Kek Hari Bapa





Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia....
Kali ini buat julung-julung kalinya, PAPN Bukit Peringgit mengadakan Sambutan Hari Bapa sejak penubuhannya pada tahun 2007. Satu senario yang amat menarik, suasana yang amat segar dan membahagiakan. Seperti biasa, Persatuan Ibubapa dan Pendidik (PIBP)  mengadakan mesyuarat bulanan untuk aktiviti Sambutan Hari Bapa ini. Bermula dari hari mesyuarat lagi, para bapa sudah mula menunjukkan "perasaan" tidak mahu terlibat langsung dengan persiapan aktiviti kali ini. Bagi para bapa ini, mereka ingin "berehat" pula menantikan hari yang telah dirancang untuk meraikan mereka. Para ibu diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk merancang aktiviti untuk Sambutan Hari Bapa kali ini.

Oleh yang demikian, semasa di dalam mesyuarat satu keputusan dicapai iaitu, mengadakan Sambutan Hari Bapa pada bulan ini pada 25 Jun 2010 di Quayside Cafe & Seafood Restaurant – Dine @ Melaka River Side pada pukul 8.30 malam. Para bapa diminta memakai jersey bola sebagai tema pada malam itu dan para ibu pula bertemakan "warna-warni".

Ucapan daripada wakil bapa iaitu, Encik Khairul Azwal, Naib Pengerusi PIBP

Malam Sambutan Hari Bapa dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan ucapan daripada wakil bapa iaitu, Encik Khairul Azwal, Naib Pengerusi PIBP. Majlis diteruskan dengan meminta para bapa memakai topeng yang telah dikhaskan untuk mereka. Selesai acara pemakaian topeng, para ibu naik ke pentas menyanyikan lagu "Cari Jodoh" yang telah diubah liriknya sebagai persembahan eksklusif  buat para bapa. Majlis diteruskan dengan para hadirin dijemput untuk menjamu selera dan pada masa yang sama sebiji kek dibawa keluar lalu diletakkan di atas pentas. Para bapa diminta untuk naik ke atas pentas dan memotong kek tersebut beramai-ramai.


Persembahan dari para ibu

Teacher Ina dan Teacher Shila turut membuat persembahan untuk suami masing-masing
    
Para ibu menyanyikan lagu "Cari Jodoh" yang telah diubah liriknya.

Usai menjamu selera, para bapa dipanggil sekali lagi untuk bermain kerusi beracun. Semua bapa begitu teruja untuk bermain kerusi beracun tersebut. Peraturannya mudah, para bapa akan berebut kerusi, dan bagi mereka yang trsingkir akan didenda sebelum mendapat hadiah masing-masing. Bagi para bapa yang tersingkir, mereka diminta untuk memecahkan sebiji belon yang ditampal di dinding untuk mendapatkan klu sebelum menerima hadiah hari bapa. Semua bapa begitu seronok bermain dan sporting untuk didenda setelah klu dibacakan kepada mereka. Antara denda yang dilakukan adalah seperti diminta untuk memeluk kerusi dan dinding dan menyatakan "I love You" menari , menyanyi, bercakap seperti orang sengau, meniru gaya Teacher Miza, memujuk isteri yang merajuk dan bermacam-macam lagi. Secara keseluruhannya, semua orang kelihatan gembira dan seronok melakukan aktiviti yang telah dirancang pada malam tersebut. Terpamer keceriaan di wajah mereka dan ternyata PAPN Bukit Peringgit terdiri daripada keluarga-keluarga yang bahagia. Anak-anak PERMATA mencium wajah si ayah tanda terima kasih di atas pengorbanan yang dilakukan selama ini.

Acara penutup Sambutan Hari Bapa diakhiri dengan warga PAPN dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Melaka dan menikmati keindahan malam sepanjang sungai tersebut. Alhamdulillah... aktiviti berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan kemusykilan. Untuk para ibu, sekalung TAHNIAH! buat kalian kerana berjaya mengadakan sambutan ini dengan jayanya.

Untuk para bapa. "SELAMAT HARI BAPA"!!!!!!!!!!!!!!


 KENANGAN PADA MALAM ITU...............


 
Para hadirin mula menjamu selera

   
Wajah ceria Fitryyah pada malam itu....


                                           
Teacher Ina bersama suami serta bayi baru mereka, Aidil Muzakkir turut memeriahkan majlis pada malam itu


Sedia.... tiup!


Rebut..jangan tak rebut!

Wah!...berduet nampak


Kalau nak hadiah, kene menari dulu..


Aktiviti terakhir....menyusuri Sungai Melaka dan menikmati keindahan malam. 

Khamis, 24 Jun 2010

Happy Birthday to Ayie n Umairah!

Happy Birthday to Ayie n Umairah...

Untuk bulan Jun kali ini, PERMATA menyambut harijadi yang ke-3 tahun untuk Mohd Quezairi dan Nur Umairah.Seperti biasa, ibubapa kanak-kanak ini telah memberikan amanah kepada para pendidik untuk mengadakan sambutan harijadi di PERMATA. Ayie dan Umairah diraikan oleh rakan-rakan seperjuangan yang turut merasakan debaran meniup lilin dan memotong kek. Rakan-rakan menyanyikan lagu "Happy Birthday to You" dan "Allah selamatkan Kamu" dengan penuh semangat sebagai ucapan selamat untuk Ayie dan Umairah.

Buat Ayie dan Umairah..."May Allah bless your day with prosperity, happiness and hope"... ikhlas dari kami, para pendidik PERMATA.


Detik-Detik yang sempat kami rakamkan...

HAPPY BIRTHDAY UMAIRAH and AYIE!

Rabu, 16 Jun 2010

Pemberusan gigi kanak-kanak – bila dan bagaimana?

Mengajar anak memberus gigi adalah sangat penting. Tentu ramai yang mempunyai masalah yang anak mereka tidak suka memberus gigi atau tidak mahu diberus giginya oleh anda. Bagaimana anda mahu memupuk sikap suka memberus gigi dikalangan anak anda? Bagaimana cara memberus gigi anak anda?


Cara memberus gigi anak anda:


Berus gigi anak anda 2 kali sehari, pagi dan juga malam sebelum tidur.


1. Posisi paling bagus untuk anda berdiri ialah di belakang atau tepi anak anda dan memegang rahang bawah anak anda dengan lembut.


2. Berus bahagian permukaan gigi belakang dahulu kerana bahagian ini digunakan untuk mengunyah makanan dan sangat senang mendapat karies. Kemudian, teruskan dengan bahagian permukaan tepi gigi dan juga bahagian sebelah dalam gigi belakang.


3. Selepas itu berus pula bahagian gigi hadapan, permukaan luar dan dalam gigi.


4. Gunakan teknik berusan secara bulatan kecil seakan gegaran supaya seluruh permukaan gigi dibersihkan dengan sempurna.


5. Luangkan masa dalam 3 minit untuk memberus gigi anak anda. Nyanyikan lagu semasa memberus supaya apabila habis lagu dalam masa 3 minit, maka pemberusan gigi pun habis.


5. Suruh anak anda berkumur dan ludahkan semuanya. Jangan risau sekiranya anak anda tertelan sedikit ubat gigi yang mempunyai kandungan florida rendah. Jika anak anda selalu menelan ubat gigi, gunakan ubat gigi tanpa florida.


6. Jangan lupa memuji anak anda kerana telah memberus gigi.



Apa perlu buat jika anak tidak mau memberus gigi


Ada kanak-kanak yang tidak suka anda menggosok gigi mereka. Mereka mahu membuatnya sendiri. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun tidak akan menggosok gigi dengan betul kerana mereka masih tidak tahu menggunakan berus gigi dengan betul. Jadi, anda perlu memberus semula gigi anak anda selepas anak anda memberusnya. Anda juga boleh mencuba beberapa tip untuk menjadikan aktiviti memberus gigi disukai anak anda:


1. Pastikan aktiviti memberus gigi sesuatu yang seronok dan bukannya satu tugas yang perlu dibuat oleh anak anda setiap hari


2. Biarkan anak anda memberus gigi anda, kemudian memberus giginya sendiri dan kemudian anda pula menyudahkan pemberusan gigi.


3. Biar dia memilih berus gigi dan ubat gigi kesukaannya


4. Nyanyikan lagu atau buatkan aktiviti gosok gigi seperti satu permainan


5. Bacakan buku mengenai gigi, pemberusan gigi dan juga doktor gigi


6. Jangan gunakan paksaan semasa memberus gigi anak anda, sekiranya anak anda tidak mahu memberus nasihatkan anak anda secara perlahan-lahan sehingga dia mahu memberus gigi


Jika anda jadikan gosok gigi ini seperti sesuatu yang menyeronokkan tentu anak anda sukakannya. Anak anda juga akan suka memberus gigi jika mereka melihat anda memberus gigi. Mulakan dari awal, supaya senang mendidik anak menggosok gigi kelak. Ingatlah bahawa gigi anak anda amat penting walaupun gigi itu akan diganti dengan gigi kekal kerana tanpa gigi, anak anda akan menghadapi masalah untuk makan dan boleh mengganggu tumbesaran mereka.






Selamat mencuba!

Karies gigi di Kalangan Kanak-kanak

Apakah yang dimaksudkan dengan karies awal di kalangan kanak-kanak?


Karies awal di kalangan kanak-kanak ialah kerosakan gigi susu yang berlaku dalam kadar yang cepat yang disebabkan oleh amalan penyusuan yang tidak baik dan diburukkan lagi oleh tabiat pemakanan yang tertentu. Ia juga dikenali dengan nama karies botol susu.


Apakah yang menyebabkan kerosakan gigi anak?

Menghisap susu atau minuman manis secara berterusan terutama semasa tidur adalah penyebab utama kerosakan gigi berlaku.

Semasa tidur, aktiviti menelan air liur akan berkurangan. Ia akan menghalang proses pembersihan cecair dalam mulut. Susu atau minuman manis bertakung di dalam mulut dan ia menggalak pembiakan bakteria yang akan menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit gusi.


Bagaimana anda boleh mengetahui anak anda mengalami kerosakan gigi?

Anak anda mungkin mengalami:

* sakit gigi atau gusi

* kerosakan gigi kacip di rahang atas

* kerosakan gigi geraham di rahang atas dan bawah

Kebiasaannya, kerosakan gigi jarang berlaku pada gigi hadapan rahang bawah.



Apakah masalah berkaitan yang timbul?

Kerosakan gigi yang tidak dirawat akan menyebabkan :

* sakit gigi

* bengkak gusi

* kehilangan gigi



Bagaimanakah gigi yang rosak dirawat?

Dapatkan pemeriksaan daripada doktor pergigian seawal mungkin untuk mengelak kerosakan gigi yang teruk atau berterusan. Gigi tersebut mungkin perlu dibersihkan dan ditampal atau menjalani lain-lain rawatan yang diperlukan.



Apakah yang boleh anda lakukan untuk mencegah kerosakan gigi awal di kalangan kanak-kanak?

Langkah yang perlu diambil :

* Pangku anak anda semasa menyusu botol dan keluarkan botol daripada mulutnya sebaik sahaja dia tidur.

* Sekiranya anak anda enggan tidur tanpa botol di dalam mulutnya, isikan botol dengan air masak kosong.

* Bersihkan mulut anak selepas memberi makan atau minum dengan tuala bersih yang basah. Jadikan kebiasaan untuk memberus gigi nya dua kali sehari apabila lebih banyak gigi tumbuh.

* Elakkan memberi minuman yang manis atau mencampur gula ke dalam minuman botol anak anda.

* Usahakan agar anak anda tidak lagi mengguna botol susu apabila sudah berumur 1 tahun. Latih anak anda minum susu dengan mengguna cawan.

* Bawa anak anda ke klinik seawal mungkin untuk mendapatkan pemeriksaan pergigian.

LAWATAN PROGRAM PERGIGIAN di PAPN BUKIT PERINGGIT

Tarikh 15/06/2010 , hari Selasa lalu merupakan hari yang amat menggembirakan anak-anak PERMATA Bukit Peringgit kerana mereka telah menerima lawatan mesra daripada para jururawat pergigian. Anak-anak PERMATA kelihatan seronok dan tiada riak muka  ketakutan langsung apabila diberitahu pendidik yang mereka akan menjalani pemeriksaan gigi bersama-sama dengan jururawat yang hadir. Sesuatub yang di luar jangkaan kerana kami para pendidik menyangkakan bahawa anak-anak PERMATA akan menangis ketakutan  apabila menerima lawatan "si baju seragam berwarna putih", lebih-lebih lagi  dengan "jarum suntikan". Rupa-rupanya, perkara sebaliknya yang berlaku. Tahniah! diucapkan kepada anak-anak PERMATA Bukit Peringgit.


Aktiviti lawatan dimulakan dengan, salah seorang jururawat bercerita tentang kes kerosakan gigi kepada anak-anak. Jururawat tersebut sangat pandai menarik perhatian anak-anak semasa memberikan penerangan tersebut. Anak-anak PERMATA memberikan tumpuan di samping menunjukkan gigi masing-masing kepada jururawat yang bertugas.

Jururawat Pergigian sedang memberikan ceramah

Setelah selesai memberikan ceramah, berus gigi diagih-agihkan kepada anak-anak PERMATA dan mereka diminta untuk berkumpul di luar bagi menjalankan aktiviti seterusnya iaitu mempelajari kaedah memberus gigi dengan betul. Jururawat yang terbabit memberikan arahan dan tunjuk ajar kepada anak-anak menggunakan model gigi yang dibawanya bersama. Anak-anak PERMATA kelihatan seakan-akan tidak sabar untuk melakukan aktiviti tersebut. Dengan arahan yang jelas dan tunjuk ajar, anak-anak PERMATA dapat melakukan aktiviti memberus gigi ini dengan baik.


Anak-anak diajar cara memberus gigi dengan betul

Setelah selesai aktiviti memberus gigi, anak-anak PERMATA dibawa untuk menjalani pemeriksaan gigi untuk mengenalpasti tahap kebersihan dan kualiti gigi masing-masing. Anak-anak PERMATA didapati mengalami masalah karies gigi dan perlu mendapatkan rawatan iaitu penyapuan varnis flourida pada gigi yang rosak.

Oleh yang demikian, para jururawat ini telah kembali semula ke PAPN Bukit Peringgit pada hari Jumaat, 11/06/2010 untuk melakukan penyapuan varnis tersebut. Anak-anak PERMATA tidak dibenarkan makan selama satu jam dan menggosok gigi selama satu hari untuk memastikan penyapuan varnis tersebut berjaya dilakukan. Pujian diberikan kepada anak-anak PERMATA kerana mereka berani dan tidak menangis sepanjang lawatan pergigian dan pemeriksaan gigi dijalanakan ke atas diri mereka.


 
Danish Asraf sedang diberikan rawatan penyapuan Varnis Flourida


Asyikin Durrani turut menghadapi masalah karies gigi


Nurul Hanifarisha Umairah juga...

Isnin, 7 Jun 2010

Selamat hari Ibu dan Hari Guru

Salam.....

"Selamat hari Ibu" diucapkan  kepada semua ibu-ibu anak-anak PERMATA Bukit Peringgit....

"Selamat Hari Guru" diucapkan kepada semua teacher PERMATA Bukit Peringgit....

Alhamdulillah!.. Selesai sudah Majlis Sambutan Hari Ibu dan Hari Guru yang telah berlangsung pada bulan Mei yang lalu. Pelbagai aktiviti yang dijalankan pada malam tersebut untuk meraikan para ibu dan guru yang bertemakan warna biru. Ayah-ayah semua sibuk pada malam tersebut, bertungkus-lumus melakukan yang terbaik untuk meraikan ibu kepada anak masing-masing. Pendek kata, pada malam sambutan itu, para ibu duduk goyang kaki sahaja bagai puteri raja.
Pengerusi Majlis memberikan ucapan
                                     

Wakil ibu, Puan Jariah dan Ketua Pendidik turut  memberi ucapan

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi PIBP, Encik Mohd Iswadi Abdul Hamid, diikuti dengan ucapan dari Ketua Pendidik dan akhir sekali, wakil ibu-ibu PERMATA, Puan Jariah. Aktiviti dimulakan dengan persembahan dari anak-anak PERMATA, diikuti dengan persembahan istimewa dari para bapa.



Ibu-ibu diraikan dengan bermain "Musical Chair" dan bertukar-tukar hadiah di antara satu sama lain, manakala guru-guru diminta untuk duduk di atas pentas dan diserbu oleh anak-anak PERMATA untuk diberikan hadiah.

Anak-anak PERMATA membuat persembahan dengan menyanyikan 3 buah lagu khas untuk para ibu. Anak-anak menyanyikan lagu "You are my Mama" , "Ibu Ratu hatiku" dan "Ummiku Sayang"

Persembahan dari para bapa menyanyikan lagu "Aspalela" yang telah diubah liriknya.


Para ibu bermain "Musical Chair"

Majlis yang bermula seawal 8.30 malam diakhiri dengan Majlis Sambutan Harijadi Anak-Anak PERMATA yang lahir dalam Bulan Mei dan makan malam bersama keluarga masing-masing. Hebat dan meriah majlis yang telah dijalankan. Terima kasih kepada semua terutama para bapa yang berkerja keras menjayakan majlis ini.

Anak-anak PERMATA yang menyambut hari lahir pada bulan Mei.



KENANGAN SEPANJANG MAJLIS SAMBUTAN HARI IBU DAN GURU TAHUN 2010